Wednesday, February 22, 2012

Saya Capai Impian Saya!

Sudah hampir setahun blog ini tidak bersentuh. Terlalu sibuk dengan kehidupan di alam realiti sehingga tidak berkesempatan menyusun idea dan menulis di alam maya ini. Idea-idea itu datang, tapi tidak sempat distrukturkan, lalu dilakar dalam buku catatan dengan harapan satu hari nanti saya boleh mengolahnya semula.

Sebagai bukti bahawa penulis masih bernafas di muka bumi ini, reka bentuk blog ini telah melalui proses pembaharuan buat beberapa kali. Malah nama blog ini pun telah ditukar kepada nama pena saya sendiri. Kenapa Bella Zulkifly? Saya sibuk mencari nama pena yang sesuai namun tidak pula diketemu. Lalu nama Bella Zulkifly menjadi pilihan kerana 'Bella' merupakan nama panggilan.

Saya menulis catatan ini bersempena satu peristiwa yang menggembirakan yang berlaku pada hari ini. Pada mingu lepas,saya terpandang poster ini di perkarangan kampus :


Sebaik sahaja terpandang akan poster ini, saya tidak berfikir untuk kali kedua bahawasanya saya akan berada di Dewan Tuanku Canselor pada tarikh tersebut, walaupun saya tahu bahawa kelas Community Health akan berjalan seperti biasa pada tarikh yang sama. Impian untuk bertemu muka dengan Tun Dr Mahathir merupakan impian saya sejak kecil. Malah saya telah meletakkannya dalam senarai perkara yang ingin saya capai dalam hidup.

Maka hari ini saya tidak menghadiri sesi pagi kelas-kelas Community Health (dalam bahasa mudahnya saya ponteng kelas) untuk menghadiri sesi ceramah ini.

Memakai baju ala Nehru berwarna kelabu kegemarannya, Tun nampak masih gagah, posturnya masih tegak walaupun sudah berusia 87 tahun, menyampaikan syarahannya dengan hanya berbekalkan sebuah buku nota kecil, namun pantulan ideanya tetap tajam dan tepat seperti semasa beliau menjadi Perdana Menteri.

Bagaimana kita ingin melakukan transformasi pada minda para penyelidik muda? Ucapan Tun tadi hanya berlegar-legar di sekeliling satu kata kunci sahaja iaitu 'mindset'. Tetapi Tun berjaya mengolahnya sehingga beliau berdiri di atas pentas selama satu jam lebih, ditambah pula dengan sesi soal jawab selama lebih kurang setengah jam.

Mukaddimah ucapan Tun diisi dengan pandangan beliau tentang tajuk syarahan itu sendiri. 'Transformasi Minda Penyelidik Muda'. Beliau bergurau dengan menyatakan beliau bersyukur bahawa minda yang ingin ditransformasi ialah minda penyelidik muda, bukan minda penyelidik tua. =). Katanya minda orang muda itu mudah dibentuk kerana mudah menerima perubahan. Minda orang tua sukar diubah kerana mereka sudah menjadi degil dan keras kepala, katanya lagi otak sudah beku, HAHA. Semakin kita tua, minda kita menjadi makin konservatif, lalu sukar menerima transformasi, sedangkan transformasi itu diperlukan untuk menghambat perubahan. Bagaimana ingin berada selari dengan perubahan jika tidak mahu berubah?

Gambar diambil dengan kamera saya.

Kita harus punya pemikiran untuk sentiasa memperbaiki apa yang sedia ada pada kita

Sesuatu yang sedia ada itu boleh diperbaiki lagi. Contohnya; pada jarak 1 meter, kita masih lagi boleh bercakap dengan orang lain. Bayangkan pula di dalam sebuah dewan yang besar sebesar DATC, bagaimana seorang penceramah di atas pentas mahu bercakap agar butirannya boleh didengar oleh semua penonton dalam jarak berpuluh/beratus meter? Maka untuk menyelesaikan masalah ini mikrofon dan pembesar suara dicipta. Kemudian kita berfikir lagi, bagaimana kita ingin memungkinkan komunikasi dalam jarak beribu-ribu kilometer pula? Terciptalah pula alat-alat elektronik dan digital seperti internet, video chat, etc.. Sehingga pada hari ini mereka yang berada di berlainan benua boleh berkomunikasi seolah-olah bersemuka. Malah angkasawan kita yang berada di ISS sekalipun boleh berkomunikasi dengan rakyat Malaysia dibumi.

Jika cepat berpuas hati dengan perkara yang sedia ada, dan merasakan apa yang kita ada itu sudah cukup, tiada mindset untuk berubah, maka perkara ini akan menjadi susah.

Pemikiran yang sentiasa ingin menyelesaikan masalah. Tambah Tun, kita tidak boleh menerima sesuatu secara muktamad, kita perlu berfikir untuk sentiasa membaiki. Contohnya, untuk menghasilkan sebuah cerita kartun, sebelum ini, kita perlu menyediakan beribu-ribu lukisan untuk menghasilkan pergerakan. Sekarang sama ada lukisan mahupun pergerakan itu sendiri boleh dihasilkan secara digital. Kata Tun beliau menggemari cerita kartun Upin Ipin... :)


Semangat inkuiri. Diri harus dilengkapi dengan semangat ingin tahu. Kita tidak harus berhenti setakat ilmu yang kita tahu sahaja. Setiap sesuatu itu perlu dipersoalkan sistemnya. Contohnya jika kita melihat sebiji mentol yang menyala. Bagaimana mentol itu boleh menyala? Melalui proses apa? Tindakan kimia apakah yang terlibat? Jika melalui elektrik, bagaimana pula elektrik itu dihasilkan? Apakah cara untuk menghasilkan elektrik dengan mudah dan menjimatkan kos?

Cuba kita kaji satu peristiwa. Pada zaman dahulu, orang Cina menggunakan mercun kononnya untuk menakutkan naga yang ingin menelan bulan dan menyebabkan gerhana. Orang Eropah mengkaji tentang bahan-bahan yang berada didalam mercun, kemudiannya daripada mercun itu, mereka ubah suai menjadi bahan letupan yang lebih hebat, yang mampu mencampakkan peluru pada jarak yang sangat jauh. Mereka berjaya menghasilkan senjata peperangan daripada mercun yang bertujuan menghalau naga itu.




Sebenarnya kita tidak payah susah-susah melihat kejayaan orang lain. Cuba lihat dalam tradisi agama kita sendiri. Para ilmuwan Islam banyak yang menjadi pelopor kepada disiplin-disiplin ilmu. Ibnu Sina dengan Kitab al-Qanun fi al-Tibb, Ibn Qayyim Al Jauziyah menghasilkan Kitab At-Tibb an-Nabawee, Al Jahiz yang menulis Kitab al-Hayawan yang ada berbelas-belas jilid, dan ramai lagi.Namun pada abad ke-15, tradisi keilmuan ini telah runtuh dek kelalaian kita sendiri. Maka menjadi tanggungjawab kita untuk menghidupkan semula tradisi ilmu tersebut.

Dalam sesi soalan jawab, ada yang bertanya, apakah sumber rujukan Tun sehingga beliau menjadi sangat berpengetahuan. Maka jawab Tun, beliau suka membaca sejak kecil lagi. Masih terngiang-ngiang ayat Tun : "Sesiapa yang rajin membaca, maka dialah yang akan mendapat ilmu". Kebetulan saya juga suka membaca, hehe...

Selain daripada kandungan syarahan beliau, ada seperkara lagi yang berlaku yang menarik perhatian. Tentang sambutan pelajar-pelajar UiTM terhadap Tun. Saya sungguh terharu melihat gelagat-gelagat mereka (gelagat saya sendiri pun apa kurangnya!)

Ada ramai pelajar yang berhimpun dan menunggu di luar ruang makan VIP untuk bersalam dan mendapatkan tandatangan beliau. Malah mereka ini sanggup tidak menjamah makanan yang disediakan untuk pelajar-pelajar hanya kerana takut akan terlepas bersua muka dengan Tun-saya pun termasuk dalam golongan ini. Kami berdiri selama setengah jam, berhimpun di laluan keluar VIP bagi menunggu beliau selesai makan. Ramai yang bersesak sehingga saya merasakan kepala saya telah disiku sebanyak beberpa kali, hehe

Dari laluan pintu masuk sehingga Tun melangkah masuk kedalam kereta untuk pulang, terdengar jeritan mereka ; " I love you, Tun! ". Dan pemergian pulang Tun diiringi laungan " Hidup Tun!" oleh kami semua. Dan percayalah, kejadian ini bukan diatur untuk majlis tersebut, tapi berlaku tanpa diduga dan secara spontan beramai-ramai.


Gambar diambil dengan kamera saya

Gambar diambil dengan kamera saya

Tanggapan saya terhadap mahasiswa tempatan berubah. Rupa-rupanya masih ramai yang tahu menghargai pejuang yang sebenar, dan mengiktiraf mereka yang benar-benar ikhlas dalam perjuangan. Tahu membezakan antara hero dengan dungu. Ketahuilah bahawa kami, golongan muda mencari-cari pemimpin seperti beliau untuk dibanggakan dan dijadikan contoh.



Detik kepulangan Tun dirakam melalui kamera saya

I Love You, Tun!

My best shot of the day!