Friday, May 14, 2010

Kenapa Ular? Kenapa Lalang?

Dalam satu sesi motivasi, kaunselor memberi arahan; "Pilih satu jenis haiwan dan satu jenis tumbuhan. Secara KREATIF, huraikan dan jelaskan sifat-sifat istimewa yang kamu nampak pada haiwan dan tumbuhan itu yang kamu rasa patut ada pada diri manusia"

Haiwan yang saya pilih ialah ular. Tumbuhan pula, saya pilih lalang.

KENAPA ULAR?


Kerana pada seekor binatang yang dipanggil ular, saya dapat melihat satu sifat iaitu 'hebat, tetapi merendah diri'

Siapa tidak kenal ular? Binatang berbisa yang amat digeruni. Ada sesetengah jenis yang mampu membunuh mangsa dalam hanya beberapa saat, sama ada melalui bisanya mahupun belitannya. Jika ditanya rata-rata, sudah tentu ramai yang tidak mahu bertemu atau terserempak dengan ular, sambil didalam hati memohon minta dijauhkan. Jika dalam sebuah pejabat, seorang staf menjerit "ular! ular!", yang perempuan akan menjerit-jerit melompat keatas meja, yang lelaki pula akan mencari kayu atau apa-apa yang boleh untuk memukulnya. Takutnya kita pada ular. Terkenalnya ular dengan kehebatannya atau bisanya.

Tapi saya suka melihat cara pergerakan ular. Walaupun manusia takut padanya, walaupun berbisanya ia, ia bergerak dengan hanya menyusur pada tanah. Badannya dirapatkan pada tanah, jika perlu, ia meleperkan pula badannya. Jika ada akar-akar pokok yang berselirat, maka di bawah akar-akar berselirat itulah ia akan menyusur. Mana ada ia terbang mengepakkan dadanya (ya, ada spesies y boleh terbang), meninggikan badannya, mahupun mengaum seolah-olah memberitahu satu dunia "akulah haiwan berbisa!". Tidak sama sekali. Paling kuat pun ia mengeluarkan hissing sound sahaja. Seolah-olah ia tidak mahu kehadirannya disedari, dan tidak langsung mahu mencuri perhatian.

Begitu juga manusia. Walau sehebat mana pun kita, sekaya mana pun kita, kita perlu merendah diri. Secara fitrahnya sebagai manusia, kita tidak suka akan sikap meninggi diri dan takabbur mahupun lagak sombong, sebaliknya kita lebih selesa dengan percakapan dan appearance yang sederhana, sesungguhnya itu lebih menambahkan lagi kehebatan seseorang. Manusia sendiri boleh menilai sendiri kehebatan melalui tingkah laku dan pencapaian seseorang. Action speaks louder than words. Sesungguhnya kehebatan itu akan tersebar dan menjadi buah mulut, ada sesetengahnya, hingga zaman-berzaman. Kerana kehebatan tidak mati ditelan zaman. Tetapi manusia boleh mati kerana sikapnya sendiri.

Berbalik kepada ular tadi. Walau serendah mana ia merendahkan dirinya, walau seleper mana ia meleperkan diri untuk melalui akar-akar berselirat, namun bisanya tidak berkurang sedikit pun. Ia tetap digeruni. Manusia tetap tidak mahu terserempak dengannya. Kehebatan kita tidak akan berkurang dengan merendah diri. Ibarat ular menyusur akar, tidak akan hilang bisanya. Cuba bayangkan ketika dalam ekspedisi menjelajah hutan, jika ada seorang peserta yang menyebut perkataan U.L.A.R. , pasti orang itu akan dilabel sebagai celupar... Nah, hebatnya ular, belum lagi berjumpa, dengar nama pun sudah gerun. Begitu juga dalam kehidupan kita sebagai manusia. Jika kita dengar sahaja nama seorang yang hebat, pasti terbayang-bayang akan kehebatannya, itu belum lagi berjumpa dengannya, mahupun berpeluang berjabat tangan dengan beliau...

KENAPA LALANG?


Ya, saya tahu ramai yang berpandangan negatif pada lalang. Sama ada yang membencinya kerana ia berebut sumber fotosintesis dengan tumbuhan yang lebih berharga pada mata sesetengah orang, ataupun kerana sifat semulajadinya yang sering menjadi bahan kiasan untuk mencerminkan sikap negatif seseorang.

Pada manusia, mereka biasanya menyamakan seseorang dengan lalang kerana mereka ingin menggambarkan seseorang itu tidak tetap pendirian. Kerana menurut mereka, lalang itu akan bergerak mengikut tiupan angin-maka disinilah disimpulkan bahawa lalang tidak tetap pendirian. Benarkah?

Pandangan saya lain. Apa yang saya lihat pada sifat lalang berbeza sama sekali. Ya, memang benar, lalang akan meliuk lentuk mengikut tiupan angin. Tapi ingat, akar lalang tetap dalam dan utuh, serta kuat. Kukuh pada pendiriannya. Sebagai manusia, saya mahu mempunyai sifat istimewa yang ada pada lalang ini. Sekali lagi, ya memang lalang meliuk mengikut tiupan angin, tetapi saya memandang keadaan ini sebagai sesuatu yang kita labelkan sebagai fleksibiliti. Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung. When in Rome, do as Romans do.

Ya, kita punya pendirian, tetapi fleksibiliti merupakan satu daya yang kita usahakan sebagai toleransi untuk menyesuaikan diri dalam sesuatu keadaan yang bukan dalam zon selesa atau suasana yang kita sudah biasa. Cuba bayangkan jika daun lalang itu tidak meliuk mengikut tiupan angin. Jika angin yang kuat bertiup, kemungkinan daun lalang itu boleh patah! Sama juga dengan manusia. Untuk bergerak ketahap baru dalam hidup, kadang-kadang kita akan mengalami perubahan, sama ada dari segi persekitaran alam, suasana sosial, mahupun pergaulan. Maka kita harus melakukan perubahan untuk menyesuaikan diri dengan suasana yang turut berubah. Jika tidak, kita sendiri yang akan menyusahkan diri.

Contohnya; ada seorang pelajar bernama Ana. Ana merupakan seorang pembahas sekolah. Sebagai seorang pembahas, Ana pandai berhujah, bijak mencantas hujah orang lain. Semasa latihan bahas mahupun semasa pertandingan bahas, Ana menunjukkan kemahirannya berbahas, pandai melontar hujah, dia membalas hujah orang lain, membidas hujah secara agresif. Dia bertindak seolah-seolah mahu pihak lawan terkelu dan tiada apa yang boleh diperkatakan. Tindakannya wajar pada suasananya. Kerana dia perlu bertindak demikian untuk memastikan kemenangan pada kumpulannya-kerana dia berada dalam pertandingan bahas. Tetapi bagaimana jika Ana turut mengamalkan sikap demikian semasa berada dengan kawan-kawannya? Jika semasa berbincang dalam keadaan santai atau semasa berborak dengan rakan-rakannya, Ana turut bersungguh-sungguh mencantas kata-kata kawannya, mengatakan apa yang diperkatakan rakan-rakan semua salah, dan hanya dia yang betul, hanya dia yang ingin menang, hanya kata-katanya yang benar, maka tentulah dia tidak akan disenangi rakan-rakan. Sama ada dia akan mempunyai sedikit kawan, atau tiada langsung yang mahu berkawan dengannya dek kerana sikapnya yang hanya ingin menang. Bahkan dia mungkin dipulaukan...

Kita berbalik pada lalang. Lalang itu tumbuhnya tidak ditanam, tumbuh tanpa segan, walau dicantas orang sekalipun, ia tetap akan tumbuh. Kental dan lasak. Mungkin sifat inilah yang menyebabkan lalang dibenci oleh pekebun-pekebun mahupun petani, haha! Habis semua racun dibeli dan dicuba, lalang tak takut, lalang tak kira, lalang mahu tumbuh juga! Sifat ini yang perlu ada pada manusia. Kalis pada cabaran, tidak takut pada risiko, bangun selepas rebah, tak kenal erti putus asa, tak takut pada lawan yang mungkin menggugat, tak kisah jika dibenci sesetengah orang. Yang penting, apa yang kita tahu, kita mahu mencapai cita-cita dan tidak gentar menghadapi ujian. Mengingatkan saya pada satu petikan dalam buku The Alchemist:

"before the dream is realized, we will be tested on everything that was learned along the way. That's the point at which most people give up"


Aktiviti ini telah mengingatkan saya pada satu perenggan yang saya pernah baca entah di mana. Ia berbunyi:

"Allah menciptakan segala yang ada pada muka bumi ini supaya kita berfikir akan rahsia di sebaliknya, memahami maksud dan pengajaranNya, serta kebijaksanaanNya"





2 comments:

kakchick said...

never thought of that...

++:::dY[a]::::++ said...

wah..cik bella da mula berbloging..
ini y ak takot..entry ck bella bernas punye!!!wa caya sama lu!!
hehe..'ular n lalang'..i like..
haha..jom la lawat blog ak..even x sehebat blog mg..klo mahu komen..komen ajew..spya ak ley improve..
http://dyaladycat.blogspot.com/

wea,klo mg x wat word verify bwh nie ak agy suko komen..